Monday, March 8, 2010

cerita kayap

info kayap:
(warning: sila jgn baca klu ada perasaan nk muntah, ini adalah entry sgt panjang, tp bagus untuk mereka2 yg ingin tahu)


sekadar gambar hiasan, bukan kayap kpunyaan aku


Penyakit ini sebenarnya menyerang manusia tanpa memilih usia, dari kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa. Penyakit ini berbentuk kudis yang melecur berwarna kemerah-merahan yang rasanya gatal dan merenyam. Biasanya kayap jenis ini digelar oleh orang Melayu sebagai 'kayap ular' yang merebak dari tengah belakang hingga ke bahagian depan, tidak ubah bagaikan ular yang melenggar mengelilingi tubuh badan. Ada juga kepercayaan mengatakan bila 'kayap ular' ini bertemu di bahagian depan, pengidapnya akan mati. Bagaimanapun dari pengalaman doktor perkara ini jarang berlaku.

Kuman yang menyebabkan kayap ular atau kayap 'zoster' ini adalah sama bentuknya dengan kuman yang menyebabkan penyakit cacar air. Adalah dipercayai, yang kayap ular ini terjadi akibat daripada kuman cacar air yang mula aktif setelah tertinggal dalam urat saraf 'rasa' (urat saraf 'rasa' adalah urat saraf yang boleh membuat seseorang itu merasa sesuatu) setelah diserang penyakit cacar air.

Kayap ular boleh menyerang seseorang dewasa sebaik-baik setelah tiga hingga lima hari dia terdedah kepada penyakit cacar air. Penyakit ini juga boleh merosakkan urat saraf 'rasa' seseorang seperti juga disebabkan oleh penyakit batuk kering, barah dan leukemia.Bagaimanapun kayap ular ini juga boleh menyerang seseorang tanpa mempunyai sebab. Kuman kayap ular ini menyerang urat saraf 'rasa' dan kerana itu jangkitan yang berlaku menyebabkan pengidapnya rasa sakit dan bisa.

Kayap ular ini akan muncul buat pertama kalinya di beberapa bahagian tubuh badan seseorang, bergantung kepada urat saraf 'rasa' yang mana diserang. Serangan yang berlaku adalah diikuti dengan rasa sakit di bahagian kulit di mana urat saraf 'rasa' berada. Kesakitan yang dirasakan memakan masa dua hingga 3 hari sebelum ruam merah terbentuk. Lazimnya ruam kayap ular ini berkumpul ataupun berbaris mengikut lengkaran urat saraf 'rasa'.

Pada mulanya, ruam merah yang bertompok-tompok akan kelihatan pada kulit dan kemudian lebih banyak ruam yang berbagai bentuk dengan warna kemerah-merahan dan melecur-lecur berlaku. Ruam merah yang bertompok itu mengandungi nanah sebelum pecah dan menyebabkan kulit jadi melecur. Setengah daripada kulit yang melecur ini akan menerbitkan darah dan rasa sakit akan berterusan bila ruam terus merebak di sekeliling tubuh.

Lazimnya ruam kayap ular ini bermula dari tengah belakang dan merebak hingga ke bahagian dada. Pada kebiasaannya kayap ular ini menyerang sebelah dada sahaja. Akhirnya, kayap ular ini akan menyerang urat saraf 'rasa' di bahagian' mata, sekiranya ia tidak dirawat ketika di peringkat awal lagi. Bila ini berlaku, seseorang akan merasa pening-pening dan sakit diikuti pula dengan tumbuhan ruam di bahagian dahi dan di bahagian tepi mata. Jika mata turut diserang ia kelihatan merah dan berlakulah apa yang di-katakan 'conjunctivitis’. Mana-mana urat saraf 'rasa' akan diserang oleh kuman kayap ular ini bila tumbuhnya kayap ini di kulit di mana adanya urat saraf 'rasa'.

Ruam yang berlaku pada kulit memakan masa dari 10 hari hingga dua minggu untuk sembuh jika dirawat dan kemudian ia akan mula reda dan meninggalkan parut pada kulit. Bagi pengidap kayap ular yang lebih tua, mereka akan merasakan kesakitannya dalam jangka waktu yang lebih lama iaitu berbulan-bulan ataupun makan tahun, apatah lagi jika ia tidak dirawat.

Kesakitan ini digelar 'Post-Herpetic Neuralgia' dan begitu menyeksa kerana ubat-ubatan yang diberi lazim-nya kurang berkesan. Sebelum seseorang pakar dapat merawat kayap ular Ini dia harus benar-benar mengetahui secara lebih mendalam akan penyakit ini. Dari penyakit ini telah timbul berbagai kepercayaan dan juga aneka jenis rawatan yang disyorkan.

Ramai juga yakin bahawa kayap ular ini boleh dirawat cara tradisional. Sebenarnya, kayap ular ini mempunyai proses yang natural, setelah menyerang kulit, akhirnya ia akan sembuh juga walaupun memakan masa yang panjang. Pada hakikatnya, rawatan yang diberikan kepada pesakit kayap ular ini ialah untuk mengurangkan ataupun meringankan kesakitan dan mencegah jangkitan yang menyebabkan bernanah akibat dari bakteria. Rawatannya mudah, pesakit akan diberikan sejenis pil untuk dimakan. Sementara itu ubat sapu yang berbentuk krim ataupun cecair juga diberikan untuk disapu ke atas ruam yang berlaku. Tujuannya ialah untuk mengurangkan rasa kurang senang akibat kesakitan dan gatal-gatal di samping membantu mengeringkan kulit yang melecur. Rawatan untuk kayap di mata pula hanya memerlukan ubat mata khas yang diberikan oleh doktor.

source : http://promote5.blogspirit.com

No comments:

Post a Comment